Breaking News

Soalan 3 - Pengetahuan dan Kemahiran Bahasa




Soalan 3: Pengetahuan dan Kemahiran Bahasa
(30 markah)

Jawab semua soalan.

(a)
Tulis satu ayat bagi tiap – tiap kata di bawah supaya jelas menunjukkan bahawa anda faham akan perbezaan maksud dan penggunaannya. Anda tidak boleh memberikan imbuhan, menukarkan imbuhan, menjadikannya sebagai nama khas dan peribahasa.


(i)
sama-sama – bersama-sama

(ii)
pandai-pandai – memandai-mandai

(iii)
main-main – bermain-main


(6 markah)

Contoh Jawapan
  1. Perceraian pasangan itu adalah atas dasar sama – sama tidak suka. 
    Rombongan pengantin lelaki itu akan datang pada sebelah malam bersama – sama dengan keluarga terdekatnya.

  2. Seluruh penduduk kampung berasa kagum akan kebolehan anak – anak Pak Atan yang pandai–pandai belaka. 
    Sikap Encik Ismail yang suka memandai–mandai dalam banyak hal menyebabkan beliau disisihkan oleh rakan - rakannya.

  3. “Awak jangan main–main dengan saya, nanti teruk kamu saya kerjakan,’’kata Ali kepada budak nakal itu. 
    Pak Abu sedang bermain–main dengan cucu – cucunya di halaman rumah sambil diperhatikan oleh anak menantunya.

(b)
Tukarkan cakap pindah di bawah kepada cakap ajuk dengan mengekalkan maksudnya.


Hana bertanya kepada Syiera mengapakah dia tidak lagi balik ke rumah walaupun sesi persekolahan  pada hari ini telah tamat.Syiera memberitahu Hana bahawa wang yang diberi oleh ayahnya sudah hilang.Hana bertanya lagi kepada Syiera berapakah jumlah wang yang hilang itu dan apakah kegunaan wang itu.Syiera terus menjawab soalan Hana bahawa wang yang diberi oleh ayahnya RM300 dan kegunaan wang itu adalah untuk membayar yuran sekolah yang masih belum dijelaskan sebelum ini.Hana menasihatkan Syiera supaya melaporkan hal ini kepada guru bertugas pada esok hari.Syiera bersetuju dengan cadangan Hana dan mengucapkan terima kasih kepada Hana kerana mencuba membantunya.

(6 markah)

           Contoh Jawapan
Hana : Syiera, kenapa awak tidak balik lagi ke rumah? Bukankah sesi persekolahan hari ini dah tamat?
Syiera : Wang yang ayah saya beri dah hilang, Hana.
Hana  : Berapa jumlahnya? Untuk apa wang itu?
Syiera : RM300. Saya nak bayar yuran sekolah yang masih belum saya jelaskan lagi.
Hana : Saya rasa, baik awak laporkan saja hal ini kepada guru bertugas esok.
Syiera  : Betul kata awak. Terima kasih Hana sebab cuba bantu saya.


(c)
Dalam ayat di bawah terdapat dua kesalahan penggunaan ejaan dan imbuhan. Kenal pasti kesalahan – kesalahan tersebut dan betulkan dengan menulis ayat itu semula tanpa mengubah struktur dan maksud asalnya.


(i)
Menurut kajian doktor, makanan ringan seperti mee goreng yang mengandung banyak kapur boleh mendatangkan pelbagai jenis penyakit.

(ii)
Sahlin Zulkifli bukan sahaja terkenal sebagai pemain bowling negara, bahkan beliau turut disanjung kerana kejayaannya harumkan nama negara di persada antarabangsa.

(iii)
Tuan pengetua SMK. Pulau Bum Bum telah mempengerusi mesyuarat pada pagi ini dan dibantu oleh Encik Jalil sebagai pencatit minit.


(6 markah)
          Contoh Jawapan
mee -      mi
mengandung -      mengandungi

bowling   -      boling
harumkan  -      mengharumkan

mempengerusi  -      mempengerusikan
pencatit   -      pencatat

(d)
Dalam ayat di bawah terdapat kesalahan penggunaan kata atau istilah atau bahasa. Kenal pasti kesalahan – kesalahan tersebut dan betulkan dengan menulis ayat itu semula tanpa mengubah struktur dan maksud asalnya.


(i)
Sempena pengisytiharan Hari Kemerdekaan yang ke-49, seluruh rakyat di negara ini diminta supaya sama – sama mempamerkan Jalur Gemilang.

(ii)
Boleh dikatakan tahap kehidupan rakyat di negara ini bertambah baik dari masa ke semasa sebagai akibat hasil keberkesanan jentera pentadbiran kerajaan.

(iii)
Kebanyakan pelajar - pelajar yang melawan peraturan sekolah akan dikenakan tindakan tatatertib iaitu hukuman rotan atau gantung sekolah.
                                                                                                        (6 markah)

            Contoh Jawapan
pengisytiharan  -      sambutan
mempamerkan  -      mengibarkan

tahap   -      taraf
masa   -      semasa

pelajar-pelajar   -      pelajar
melawan    -      melanggar


(e)
Baca ayat – ayat di bawah dengan teliti dan kemudian nyatakan peribahasa yang sesuai dengan ayat – ayat tersebut.


(i)
Ketika Perdana Menteri mengumumkan belanjawan negara bagi tahun 2007, semua anggota perkhidmatan awam berasa gembira kerana kerajaan bersedia memberi kenaikan gaji sebanyak 5% dan pemberian bonus sebulan gaji.

(ii)
Zuraini dan Mazuin adalah bersahabat baik. Mereka berdua mempunyai hubungan yang akrab sejak di bangku sekolah lagi. Kini mereka sama – sama melanjutkan pelajaran di Universiti Kebangsaan Malaysia dalam bidang yang sama iaitu pendidikan. Mereka sering kelihatan bersama – sama walau di mana mereka berada.

(iii)
Setelah sekian lama merantau di negeri orang, Encik Taslim sekeluarga akhirnya kembali ke kampung halamannya di negeri Sabah.

          Contoh Jawapan
1. Durian runtuh.
2. Bagai dakwat dengan kertas 
3. Seperti ikan pulang ke lubuk 


No comments