Breaking News

Usaha Untuk Memupuk Perpaduan Dalam kalangan Pelajar dan Kekangan yang Di Hadapi





Soalan 1: Rumusan

Baca petikan di bawah ini dengan teliti dan kemudian buat satu rumusan tentang
usaha untuk memupuk perpaduan dalam kalangan pelajar dan cabaran yang dihadapi. Panjang rumusan anda hendaklah tidak melebihi 120 patah perkataan.

        Perpaduan negara merujuk kepada satu bentuk penyatuan pelbagai kelompok yang mempunyai latar belakang sosial, agama, budaya, dan bahasa yang berbeza, di bawah satu bentuk identiti nasional yang lebih khusus serta dapat diterima oleh majoriti golongan di negara ini. Memandangkan terdapat perbezaan yang begitu ketara dalam kalangan kaum, usaha yang lebih positif perlu dilakukan untuk mewujudkan masyarakat yang bekerjasama, bertolak – ansur, tolong – menolong dan seterusnya bersatupadu. Sejarah telah membuktikan, kegagalan mewujudkan perpaduan antara kaum akan membawa kepada isu perkauman. Jika kita menyingkap kembali dasar pendidikan negara pada zaman pemerintahan penjajah, memang dapati ada usaha pihak penjajah untuk memecah belahkan perpaduan kaum di negara ini. Pihak penjajah mewujudkan sistem persekolahan yang berasingan mengikut kaum sehingga membentuk semangat perkauman yang menebal. Keadaan ini akhirnya telah membawa kepada meletusnya tragedi 13 Mei 1969.
<– ads –> tag
        Menyedari hakikat ini, maka diperkenalkan Penyata Razak 1956 yang bertujuan menyatukan semua pelajar daripada pelbagai bangsa dengan menggunakan bahasa kebangsaan sebagai bahasa pengantar. Laporan Rahman Talib 1960 telah mengukuhkan lagi Penyata Razak melalui sistem persekolahan dan kurikulum sekolah yang sama. Matlamatnya sama, iaitu memupuk perpaduan agar tragedi 13 Mei 1969 tidak berulang lagi. Hal ini penting kerana golongan inilah yang akan menjadi penentu hala tuju negara.

        Selain itu, perpaduan dapat disemai dalam kalangan pelajar melalui penghayatan dan rasa bangga menjadi warganegara Malaysia. Perasaan ini dapat dipupuk ketika guru mengajar mata pelajaran Sejarah atau melalui aktiviti kuiz kenegaraan atau Larian Jalur Gemilang. Kita juga dapat mengukuhkan perpaduan antara kaum dengan cara memupuk dan menghayati semangat setia kawan, tolak ansur dan toleransi di sekolah. Keadaan ini dapat dicapai ketika menyambut perayaan pelbagai kaum di Malaysia dan sekali gus menimbulkan sentimen perpaduan dan semangat bekerjasama.

        Dalam bidang akademik, sentimen perpaduan dapat kita bangkitkan di sekolah dengan menekankan nilai – nilai rohani dan budaya bersama-sama dengan pelbagai kaum. Nilai – nilai ini dapat kita salurkan dalam mata pelajaran Pendidikan Islam dan Pendidikan Moral. Dasar penubuhan sekolah wawasan yang menggabungkan ketiga-tiga sekolah rendah iaitu SRK,SRJK(C) dan SRJK (T) turut menyumbang ke arah perpaduan antara kaum. Selain berkongsi segala kemudahan, pelajar di sekolah berkenaan akan bergaul ketika bersukan, makan di kantin atau semasa hari terbuka.

        Kegiatan kokurikulum di sekolah juga mampu memupuk perpaduan dalam kalangan pelajar melalui aktiviti pelbagai kaum seperti keluarga angkat, persatuan dan badan beruniform. Melalui cara ini, maka perpaduan dan integrasi nasional dapat dicapai dalam kehidupan masyarakat majmuk di Malaysia dan seterusnya melahirkan masyarakat yang harmoni dan sejahtera. Kesimpulannya, perpaduan dan integrasi nasional sangat penting dalam kehidupan masyarakat majmuk di Malaysia. Perpaduan dan integrasi ini akan melahirkan masyarakat Malaysia yang harmoni, saling bekerjasama dan persefahaman, serta sentiasa menghayati perjanjian sosial yang telah dipersetujui sejak awal kemerdekaan lagi. Usaha untuk mengukuhkan lagi perpaduan dan integrasi perlu disahut oleh setiap lapisan masyarakat.

(Dipetik dan diubahsuaikan daripada Memupuk Perpaduan 
Dalam Kalangan Pelajar, Dewan Siswa, Mac 2006)

Rangka rumusan


Pendahuluan:



Petikan membincangkan langkah – langkah untuk memupuk perpaduan dalam kalangan pelajar.

Isi Tersurat:
  • Menjadikan bahasa kebangsaan sebagai bahasa pengantar(Penyata Razak 1956)
  • Sistem persekolahan dan kurikulum yang sama(Laporan Rahman Talib1960)
  • Penghayatan dan rasa bangga menjadi warganegara Malaysia
  • Memupuk dan menghayati semangat setia kawan, tolak ansur, toleransi di sekolah
  • Penerapan nilai – nilai rohani dan budaya pelbagai kaum
  • Penubuhan sekolah wawasan yang menggabungkan pelbagai aliran sekolah
  • Melibatkan pelajar dengan pelbagai aktiviti kokurikulum.
 Isi Tersirat:
  • Kurang penghayatan tentang semangat nasionalisme
  • Nilai–nilai murni dan budaya yang kian terhakis dalam kalangan pelajar
  • Penubuhan sekolah wawasan memerlukan kos yang besar 
  • Semangat perkauman yang menebal
  • Masalah bahasa/komunikasi
  • Masalah perhubungan/dasar – dasar kerajaan tidak sampai ke sasaran.
Penutup:

Perpaduan dalam kalangan pelajar perlu disemai dalam usaha membentuk masyarakat yang harmoni, bekerjasama, persefahaman  dan seterusnya dapat melahirkan bangsa Malaysia yang bersatupadu.



Soalan 2:Pemahaman
(35 markah)

Soalan 2(a):    Petikan Umum

Berdasarkan petikan Soalan 1 di atas, jawab soalan – soalan yang berikut dengan menggunakan ayat anda sendiri.

(i)
Apakah yang dimaksudkan dengan rangkai kata penentu hala tuju negara?

(2 markah)
Golongan yang memastikan arah dan masa depan negara pada masa akan datang.

(ii)
Nyatakan syor - syor yang dikemukakan dalam Penyata Razak dan Laporan Rahman Talib serta matlamat syor tersebut.

(3 markah)
  • Penyata Razak- bahasa kebangsaan sebagai bahasa pengantar di semua sekolah
  • Penyata Razak- Sistem persekolahan yang sama/Kurikulum sekolah yang sama.
  • Matlamatnya iaitu ingin menyatupadukan semua pelajar di Malaysia

(iii)
Pada pendapat anda, mengapakah perpaduan itu penting dalam sebuah negara yang terdiri daripada pelbagai kaum?

(4 markah)
  • Negara dapat memberi tumpuan kepada pembangunan sama ada dari segi ekonomi, sosial mahupun politik
  • Dengan adanya perpaduan, rakyat di negara ini hidup dalam suasana aman, damai, tolak ansur dan seterusnya semangat bekerjasama
  • Wujudnya perpaduan kaum, negara bertambah kuat melalui penggemblengan idea dan tenaga daripada pelbagai kaum,

No comments